Thursday, February 10, 2011

Catatan Kenangan Sebuah Perjalanan II



Bahagian 3

"Jat. Kenapa abang Hisyam tegur engkau tadi ek?" Aju Faizal, rakan sekelasnya semasa bersekolah rendah dahulu. "Dia nak engkau jadi adik angkat dia ke?.

Izaat pura-pura tidak mendengar soalan dari rakannya itu. Dia terus leka melakar logo kumpulannya di atas kadbod yang diberikan mentor kumpulannya tadi.
"Jat... aku tanya nih.." Sedikit meninggi suara Faizal. Geram dengan sikap rakannya yang tidak mengendahkan soalannya tadi.

"Engkau ni pun... Banyak sangat soalan! Cuba engkau tolong si Izaat ni warnakan logo tu kan lagi bagus.. Biarkan jerla pasal abang Hisyam tu.." Amir, seorang lagi rakannya menyampuk. Cuba membela Izaat.
"Alah.. aku bukan apa. Nak jugak tahu kenapa dia tiba-tiba pergi tegur si Izaat ni. Itu aja." Faizal menerangkan maksudnya. Tangannya mencapai pensil warna yang dihulurkan Amir.

"Biarlah mir.. Si Faizal ni kan memang busybody sejak dulu lagi.." Izaat bersuara. Dia sebenarnya sudah lali dengan perangai Faizal yang serba ingin tahu itu. "Sebenarnya dia tolong aku masa nak daftar bilik petang tadi. Lepas tu dia tanya la aku okay ke tak.. Senior yang sebilik dengan aku macamana.. Takder apa-apa la.."

"Ooo.. bukan kes nak engkau jadi adik angkat dia la ni.." Faizal mengangguk tanda faham.
"Bukan sebab tu la.. Tapi engkau nak tahu tak.. Disebabkan korang berdua jugaklah aku dapat malu tadi tau! Sebab panik cari koranglah sampai abang Hisyam pegang tangan pun aku tak perasan. Tebal kejap rasa muka aku ni tau!" Izaat yang bersila melepaskan pensil ditangan sambil mencekak pinggang. Berlagak seperti memarahi 2 orang rakannya itu.

"Ni lah si Faizal nih!" Amir memuncung ke arah Faizal di hadapannya. "Sakit perut la.. Tak jumpa tali pinggang la.. Banyak songeh! Nasib kita tak lewat. Kalau tak.. naya jer kena denda." bebel Amir. Faizal hanya tersengih menyedari kesilapannya sebentar tadi.

Selepas Faizal meminta maaf, mereka kembali menyambung kerja menyiapkan logo tersebut. Beberapa orang senior kelihatan sibuk membantu kumpulan pelajar di dalam dewan itu. Mereka diarahkan untuk menyiapkan tugasan itu malam ini supaya dapat dibentangkan pagi esok. Sesekali kedengaran gelak ketawa dari kumpulan pelajar di dalam dewan itu. 
Tinggal setengah jam lagi sebelum waktu prep akan tamat. Izaat dan pelajar2 lain kelihatan semakin tekun menyiapkan kerja mereka. 

><><><><><><><><><><><><><><><><

Hisyam yang sedari tadi memerhatikan gelagat Izaat dan rakan-rakannya dari atas pentas tersenyum sendirian. Dia yakin yang mereka sedang bercakap mengenainya apabila melihat salah seorang rakan Izaat sesekali berpaling ke arahnya. Terdetik dihatinya rasa kesal dengan tindakannya di asrama sebentar tadi. Dia yakin yang Izaat kurang senang dengan perbuatannya itu.

"Woit Syam! Sapa budak tu hah?" Terperanjat Hisyam apabila disergah dari belakang. Sazili yang asalnya berada di belakang menapak ke sebelahnya. Pandangan Sazili turut terarah ke arah Izaat di tengah-tengah dewan itu. 

"Engkau ni Li.. Tak reti nak bagi salam ker dulu? Kelas kau tadi macamana? Tak mengamuk ker Puan Odelia tu?" Hisyam menarik sebuah kerusi di sebelahnya untuk diberikan kepada Sazili.
"Teruk jugak la kena sembur.. Engkau macam tak tahu Puan Odelia tu... Patutla sampai sekarang dia tak kahwin2 tau!" Sazili duduk sambil meletakkan begnya kebawah. Hisyam hanya ketawa mendengar bebelan rakannya itu. Matanya kembali fokus kepada kumpulan pelajar di dalam dewan itu. 

"Cakaplah.. Sapa budak yang engkau pegang tadi tu? Sedara engkau ek?" Sazili kembali mengajukan soalannya. Tangannya pula sibuk mencari-cari sesuatu di dalam begnya.
"Ooo.. si Izaat tu? Hahaha.. Adalah." Hisyam menjawab acuh tak acuh. Tangan Hisyam pantas merampas komik yang baru sahaja dikeluarkan Sazili dari dalam beg. Mereka bergelut seketika sebelum Sazili berjaya merampas kembali komik itu.

"Adalah? Baik engkau cakap betul-betul. Kalau tak.. aku tak bagi engkau baca komik aku ni." Sazili mengugut Hisyam. Beberapa orang pelajar yang menyedari kekecohan itu mula mengalihkan perhatian terhadap mereka berdua yang berada di atas pentas. 

Hisyam terus menggapai tangan Sazili. "Kalau ya pun.. Sorok-soroklah sikit.. Budak-budak dah tengok tu.." Sazili yang mula sedar dengan perlakuannya terus memasukkan kembali komik itu ke dalam beg. 

"Sebenarnya.. Budak tu jiran lama aku dulu. Dia dah jadi macam anak angkat keluarga aku la.. Tapi sejak diorang pindah, kitorang terus lost contact." Terang Hisyam tanpa memandang ke arah Sazili yang begitu khusyuk mendengar.
"Tapi macamana engkau boleh cam dia sekarang?" Sazili mengutarakan kemusykilannya.
"Tadi masa pendaftaran. Aku teserempak dengan mak dia. So aku riki2 lah.. Tengok siapa yang dia hantar. Tu yang aku boleh cam dia tu.." Hisyam menerangkan perkara sebenar kepada rakannya itu.
"Dah macam jejak kasih la pulak kawan aku sorang ni.. Aku ingat apala sangat sampai engkau kena pergi pegang tangan budak tu." Sazili kembali membetulkan duduknya. Kakinya diluruskan ke depan supaya lebih selesa.

Hisyam terkejut. Dia tidak menyangka perbuatannya tadi turut disedari rakannya itu.
"Engkau nampak? Besar sangat ke kes aku pegang budak tu?"
"Ya ampun.. semua orang dari koridor tingkat 3 ngan 2 nampak tau! Kesian aku tengok budak tu tadi. Terkulat kulat engkau buat macam tu." Sazili mengimbas kembali peristiwa sebentar tadi. Dia yang memerhatikan segalanya bergegas menuju ke arah Hisyam kerana menyangka budak itu akan ditampar oleh rakannya itu. Dia cukup kenal dengan sikap baran Hisyam itu.

"Hahaha... Patutlah budak2 prefect form 4 senyap jer dari tadi. Rupanya diorang pun tengok jugak la.." Hisyam ketawa mengingatkan peristiwa tadi. Dia yakin yang peristiwa itulah yang menjadi punca kenapa tiada seorang pun pengawas dari tingkatan 4 yang berada di dewan sekarang. Keadaan yang cukup pelik bagi dirinya.

Sazili hanya mengangguk nganguk. Jam di dewan sudah menunjukkan jam 10.30 malam. Kelihatan para pelajar lain mula membanjiri dewan makan yang terletak tidak jauh dari dewan utama. Hisyam mencapai mikrofon, memberikan arahan supaya semua pelajar berkemas. 
Sazili yang merupakan ketua biro hal ehwal pelajar mendapatkan mikrofon dari tangan Hisyam. Dia harus memberikan sedikit taklimat mengenai pergerakan pelajar sepanjang hari esok.

Selesai taklimat, semua pelajar mula bergerak menuju ke arah dewan makan. Hisyam dan Sazili perlu memastikan semua pelajar sudah meninggalkan dewan sebelum menutup semua lampu dan beredar. Langkah 2 orang rakan itu diarahkan ke kantin. Hisyam terpaksa menemani Sazili yang tidak gemar ke dewan makan tetapi memilih untuk membeli makanan di kantin sahaja.

Selesai membeli burger dan air, mereka berdua berjalan beriringan menuju ke asrama. Perbualan mereka malam itu banyak berkisar mengenai hubungan Hisyam dan Izaat. Sazili dalam pada itu menasihatkan Hisyam supaya menunggu sehingga habis minggu orientasi untuk mengelakkan Izaat menghadapi masalah terutama sekali dengan pelajar senior. Hisyam akur. Dia tidak mahu perkara seperti tadi berulang kembali. Perbuatan yang boleh di salah tafsir tujuannya. 



No comments:

Post a Comment