Friday, April 8, 2011

Catatan Kenangan Sebuah Perjalanan III


Bahagian 4

Peristiwa Hisyam hampir menampar seorang pelajar tingkatan 1 begitu cepat tersebar. 2 hari selepas itu, Hisyam dan Sazili dipanggil untuk menghadap guru disiplin, Cikgu Rahim, yang juga merupakan guru penasihat Badan Kepimpinan Pelajar Sekolah. Pelbagai spekulasi mula timbul berikutan tindakan yang akan dikenakan terhadap Hisyam selepas ini.

Sebelum sempat memulas tombol pintu bilik disiplin itu, Hisyam terdengar namanya dipanggil dari belakang. Kelihatan Cikgu Rahim tersenyum menuju ke arahnya.
"Awal awak 2 orang ni datang. Takder kelas ker?" Cikgu Rahim memulakan perbualan sambil memulas tombol pintu biliknya itu.
"Takder cikgu.. Puan Maiza kan ke Sabah.. Tu sebab kitorang datang terus ni cikgu.." Sazili segera menjawab. Hisyam hanya mampu tersenyum kelat ketika itu.
"Ooo.. kalau macam tu awak berdua tunggu kejap. Cikgu kena selesaikan yang ni dulu." Hisyam dan Sazili mengangguk tanda faham. Mereka segera mengambil tempat di ruang menunggu bilik itu. Dari cermin yang memisahkan ruang menunggu itu dengan bilik Cikgu Rahim, Hisyam dapat melihat kelibat 2 orang pelajar yang sudah lebih dahulu berada di dalam bilik itu.

"Eh, bukan ke tu Izaat ngan kawan dia? Apa dah nama budak tu... Ish.. Engkau ingat tak Syam?"
"Faizal." Hisyam menjawab. Tangannya segera mencapai majalah di atas meja dihadapannya. Cuba berlagak tenang.
"Ha.. Faizal! Apsal diorang ada kat sini hah? Ni mesti sebab kes tu kan..." Sazili masih lagi mengarahkan pandangannya ke dalam bilik Cikgu Rahim.
"Mungkin kot..." Hisyam meyelak helaian majalah di tangannya itu. Sazili mula merasakan nada berlainan dari jawapan Hisyam itu.
"Rilek la bro... Takder apanya.. Lagipun engkau xder niat nak tampar budak tu kan.." Sazili cuba menyenangkan hati rakannya itu. Hisyam yang memahami tujuan rakannya itu memaksa diri untuk tersenyum.

Bunyi pintu dikuak menghentikan perbualan 2 rakan itu. Kedengaran nama mereka berdua dipanggil Cikgu Rahim. Mereka bingkas bangun. Sazili lebih dahulu bergerak menuju ke pintu. Kedua-dua mereka berselisih dengan Izaat dan Faizal yang kini sudah selesai berurusan dengan Cikgu Rahim. 

Izaat masih sempat menundukkan kepala tanda hormat kepada 2 orang seniornya itu. Selang beberapa saat kemudian, kelibat Izaat dan Faizal hilang di sebalik pintu utama bilik itu. Kini giliran Hisyam dan Sazili pula menghadap Cikgu Rahim. Hisyam yang dari tadi senyap kini menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menghembuskannya seraya berjalan memasuki ruang bilik guru disiplin itu.....

><><><><><><><><><><><><><

Hisyam dan Sazili megambil tempat di hadapan guru displin itu. Mereka hanya mampu berdiam diri melihat Cikgu Rahim yang masih leka menanda sesuatu di atas kertas di hadapannya itu.

"Saya rasa awak berdua dah maklum sebab kenapa saya panggil ni kan? Hisyam, Sazili?" Mereka berdua mengangguk. "Tadi saya dah dengar dari mulut Izaat. Sekarang ni saya nak dengar dari mulut awak berdua pulak." Cikgu Rahim merenung 2 orang pelajar di hadapannya itu.
Mereka berdua berpandangan. Sazili memberi isyarat untuk Hisyam memulakan bicara.
"Begini cikgu..." Hisyam menelan air liur. "Saya sebenarnya tak ada niat pun nak menampar Izaat. Semua ni salah faham sebenarnya.."
"Ooo.. jadi sebenarnya apa yang berlaku?" Cikgu Rahim menyoal kembali.
Sebelum sempat Hisyam menyambung bicaranya, Sazili segera memintas. "Sebenarnya cikgu.. Mak Izaat tu mak angkat si Hisyam ni.. Tapi disebabkan diorang dah lama tak jumpa, Izaat dah tak cam dengan Sazili ni. Masa kejadian tu pulak, Hisyam sebenarnya nak menegur Izaat saja.. Bukan nak tampar pun.." Sazili menerangkan panjang lebar.
"Tapi saya mengaku yang cara yang saya gunakan masa tu salah cikgu. Tapi sumpah saya tak sedar yang perbuatan saya masa tu akan jadi isu besar macam sekarang ni." Hisyam menundukkan kepalanya. Menyesal dengan tindakannya hari itu.

"Hahaha... Macam-macam awak berdua nih! Nama jer senior, tapi perangai tak ubah-ubah dari dulu!" Cikgu Rahim ketawa kegelian melihat telatah 2 orang pelajar di hadapannya itu. Seorang begitu berkobar-kobar bercerita manakala seorang lagi seperti baru saja dijatuhkan hukuman paling berat di atas muka bumi.
"Macam nilah ya.. Saya sebenarnya tak ada apa nak cakap. Kesalahannya awak Hisyam, cuma menggunakan pendekatan yang salah untuk menegur Izaat masa tu. Dan Izaat sendiri pun tak salahkan awak. Dia pun rasa benda ni semua cuma salah faham sebenarnya. Jadi saya rasa perkara ni kita tamatkan di sini sajalah ya?" Cikgu Rahim menerangkan secara ringkas kepada mereka berdua. Baginya tiada apa yang perlu dirisaukan kerana semua ini tidak lebih dari satu salah faham antara pelajar-pelajarnya.
"Betul ni cikgu? Jadi kami tak kena denda lah ni ya?" Sazili tersenyum. Wajah Cikgu Rahim dihadapannya di tenung bercahaya.
"Denda? Ada... awak berdua kena teman saya makan kat kafeteria. Boleh?"
"Teman makan? Boleh... yang penting cikgu belanja."
"Yalah... takkan saya nak suruh awak bayar pulak.. Nanti habis duit belanja seminggu awak 2 orang kan.. Saya jugak yang susah.." Mereka berdua ketawa serentak. 

"Hah, kau dengar tu Syam. Tak ada apanya.. Jadi takyah la risau risau. Kan Cikgu?" Sazili menepuk-nepuk bahu rakannya itu. Cuba memberi semangat. Dia sendiri sebenarnya lucu melihat keadaan Hisyam ketika itu. Seperti sudah kehabisan nyawa lagaknya.
Hisyam kembali tersenyum. "Terima kasih cikgu." Cikgu Rahim mengangguk memahami. 
"Dahlah. Jom kita ke kafeteria pulak. Ni dah pukul 2 nih. Kang lambat pulak awak berdua nak solat Zohor nanti." Cikgu Rahim mengerling ke arah jam di pergelangan tangannya.
Hisyam mengangguk tanda faham. Dia dan Sazili membontoti Cikgu Rahim meninggalkan ruang bilik disiplin itu dengan hati yang lapang. Kini segala beban masalahnya di rasakan sudah hilang begitu saja.

No comments:

Post a Comment